
100 kanak-kanak sertai berkhatan perdana di Kg Kukut

BEAUFORT: Seramai 100 kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Perdana yang dianjurkan Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bersama, Persatuan Kebajikan Sahabat Dakwah Sabah; Masjid Al-Hidayah Kampung Kukut dan Sekolah Agama Negeri (SAN) Kg Kukut.
Program Berkhatan Perdana itu diadakan di Dewan Janang Gayuh Kg Kukut yang dirasmikan oleh Timbalan Yang DiPertua (YDP) MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Seramai 12 orang doktor pakar daripada UMission for Peace ditugaskan bagi melaksanakan Program Berkhatan Perdana yang diadakan di Kg Kukut dekat sini.
Malai Ali semasa menyampaikan ucapan perasmiannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkhatan itu dan berharap ia akan memberi manfaat kepada semua sekali gus meringankan beban ibu bapa.

Katanya usaha itu bukan sahaja wajar dicontohi kerana membawa impak yang cukup baik dalam menunaikan tuntutan agama tetapi juga dapat menggalakkan lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan pendekatan serupa dalam membantu masyarakat.
Beliau juga berharap ibu bapa yang terlibat dalam program itu akan terus menggalakkan anak-anak masing-masing untuk mendalami agama dalam usaha menyemarak syiar Islam dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Jelasnya, ibu bapa harus menitikberatkan pendidikan agama bagi memastikan anak mereka bukan sahaja pandai membaca Al-Quran tetapi pada masa sama mengembalikan kegemilangan Beaufort yang pernah melahirkan Qari dan Qariah hebat suatu ketika dahulu.
Beliau turut melahirkan harapan agar persatuan kebajikan, jawatankuasa kampung serta jawatankuasa masjid di situ akan terus menjalin kerjasama yang erat bukan sahaja bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang berilmu tetapi juga generasi berbudaya yang bersandarkan syiar Islam.
Turut hadir Ketua Kampung Kukut Mohd Bidin Hj Mustarin; Pengerusi JKKK Kg Kukut, Mohd Desa Hj Hirok; Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Kg Kukut serta guru-guru SAN Kg Kukut.
oleh
Kenneddy Corlleus